Salam Sejahtera

Terima kasih kepada anda semua kerana sudi memasuki blog ini. Harap anda semua dapat memberi bantuan untuk memperbaharui blog ini supaya menjadi semakin menarik untuk semua. Harap ribuan terima kasih sekali lagi kerana sudi memberi sokongan.

Wednesday, September 12, 2007

Telefon bimbit dalam gaya trendy



NAMA Jasper Morrison mungkin tidak begitu dikenali ramai namun, dalam dunia reka bentuk terutamanya untuk segmen perindustrian, pemilik nama ini adalah individu yang paling dikehendaki.

Sentuhan reka bentuknya dalam menzahirkan produk-produk khusus untuk industri termasuk barangan elektronik dan gajet sangat didambakan oleh syarikat-syarikat terkemuka dunia.

Terbaru, idea dan reka cipta eksklusif pereka ini dizahirkan untuk salah sebuah model telefon bimbit Samsung bagi siri SGH iaitu E590 yang dilancarkan awal tahun ini.

Model yang ditujukan kepada pengguna kelas pertengahan ini biarpun nampak biasa namun, ia begitu menyerlahkan konsep rekaan yang diberikan kepada Morrison iaitu bagi menjadikannya sangat trendy.

Konsep yang sama juga dapat penulis fahami ketika diberi peluang mengguna uji model SGH-590 ini, baru-baru ini, yang penulis sifatkan sangat mudah, praktikal dan selesa.

Hadir dalam saiz kompak dan hanya seberat 66 gram, teknologi dan aplikasi yang ditawarkan oleh SGH-590 ini bagaimanapun tidaklah secomel seperti pandangan luarannya sebaliknya sarat dengan kelebihan tersendiri.

Paling mengesankan ialah kamera auto fokus 3.2 megapiksel gajet ini yang disokong oleh saiz skrin 1.8 inci LCD TFT dengan resolusi 176x220 piksel.

Bagi mereka yang gemar merakam foto dan video menerusi telefon bimbit seperti penulis, gabungan kelebihan ciri-ciri itu pastinya membawakan pengalaman multimedia yang baik yang ditawarkan menerusi sebuah gajet sekecil SGH-590 ini.

Biarpun tidak menyokong kelebihan jaringan generasi ketiga (3G) sebaliknya hanya beroperasi pada jaringan tri-band GSM 900/1800/1900 MHz, telefon bimbit ini masih menawarkan capaian kepada internet menerusi GPRS dan EDGE.

Ia juga dilengkapkan dengan punca sambungan pantas termasuk Bluetooth 2.0 dan USB 2.0 sekali gus memudahkan kerja-kerja pemindahan fail dari telefon bimbit ke komputer peribadi atau sebaliknya.

Ruang kapasiti memori terbina dalam model ini iaitu 90MB juga bagi penulis agak besar jika dibandingkan dengan kebanyakan telefon bimbit lain dalam kelasnya dan sekiranya ia tidak memadai, slot memori sokongan jenis mikroSD turut disediakan.

Untuk pengalaman muzik pula, penulis sangat berpuas hati kerana model ini mampu menyokong pelbagai format fail muzik popular antaranya MP3, AAC, AAC+, e-AAC+ dan WMA dengan jangka hayat bateri kira-kira tujuh jam.

Namun, seperkara yang sangat mencuri perhatian mengenai model SGH-590 ini adalah aksesori yang didatangkan bersama-samanya iaitu sebuah tripod kamera yang diberi nama Bean Bag.

Aksesori yang diperbuat daripada material getah ini bagi penulis agak unik kerana ia sangat membantu ketika ingin merakam gambar dalam apa jua situasi seolah-olah menggunakan kamera digital biasa.

Model SGH-E590 ini kini sudah berada di pasaran dan ditawarkan dalam dua warna menarik iaitu hitam ‘Noble’ dan putih ‘Snow Silver’

Wednesday, September 5, 2007

Warga emas dipukul jiran, mati

SUNGAI PETANI 5 Sept. – Seorang warga emas yang diserang jirannya di Kampung Baru Kejai, Kuala Ketil, dekat sini Sabtu lalu mati di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas tiga hari tidak sedarkan diri.

Mangsa, Teoh Yam Hian @ Huan, 65, yang dirawat di hospital berkenaan mati kira-kira pukul 6 petang semalam akibat kecederaan pada kepala dan badan selepas dipercayai dihentak dengan objek keras oleh jirannya kira-kira pukul 2 petang Sabtu lalu.

Ketika itu mangsa keluar dari rumahnya untuk pergi ke kedai di kawasan berdekatan dan jirannya dikatakan menegur mangsa serta berlaku pertelingkahan.

Suspek yang berusia 50-an itu kemudian bertindak memukul mangsa dengan objek keras sehingga tidak sedarkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, polis kini menahan reman suspek untuk membantu siasatan kes tersebut.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan.

‘‘Kita masih menunggu laporan lengkap bedah siasat bagi memutuskan sama ada perlu dipinda kes ke seksyen lain atau sebaliknya,’’ katanya.